Posts Tagged ‘ekonomi’
Ekonomi Jepun Meleset dan Diskaun Tol 10%
Jepun baru-baru ini telah mengumumkan kemelesetan ekonomi telah berlaku di negera mereka buat pertama kali bagi suku ketiga tahun ini sejak 2001. Malah pemerintah negara itu dan para pengamat ekonomi berkata keadaan akan bertambah teruk tidak lama lagi. Jepun merupakan negara yang mempunyai ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.
Keadaan dijangkakan bertambah teruk apabila krisis ini bakal menjejaskan eksport Jepun ke luar negara. Ini menyebabkan syarikat-syarikat daripada Toyota Motor Corp sehingga ke Canon Inc untuk mengurangkan ramalan keuntungan mereka dan mengurangkan pelaburan. Akibat daripada berita ini, pasaran saham Asia turut terjejas.
Waah.. nampaknya memang tidak lama lagi negara kita bakal berhadapan dengan masalah kegawatan ekonomi. Mampukah kita menangani krisis ini seperti pada tahun 1997? Sudahkah kita menyediakan ‘payung’ sebelum masalah ini menimpa? VOY sarankan untuk mereka yang suka berbelanja boros tu, cubalah kurangkan perbelanjaan korang. Kalau dulu beli baju sekali 5 pasang. Mungkin sekarang boleh beli 2 pasang je ataupun beli mana yang perlu sahaja. Kalau ada yang boleh pakai lagi, pakai je la. Tak yah nak beli yang baru.
Satu lagi cerita yang menarik perhatian adalah diskaun tol 10% kepada pengguna kenderaan persendirian Kelas 1 (kereta biasa) yang menggunakan Lebuh Raya PLUS dan ELITE dari 12 tengah malam hingga 7 pagi. Kadar baru ini akan berkuatkuasa mulai Januari tahun depan.
Malah untuk korang yang selalu balik kampung pada waktu malam pada musim perayaan akan mendapat 10% lagi diskaun tambahan. Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed, diskaun tambahan 10% akan diberikan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 pada hari perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas dalam tempoh waktu yang sama.
Ini seolah-olah menggalakkan kita untuk balik kampung pada waktu malam. Jadi untuk korang yang tak biasa bawa kereta long distance pada waktu malam, ini mungkin bukanlah berita baik untuk korang. Yang pasti bawa kereta elok-elok terutama pada waktu malam. Memandu waktu malam memang lagi bahaya berbanding pada waktu siang. Pandu cermat jiwa selamat. Macam iklan lah pulak.
Krisis Ekonomi Dunia Bakal Kembali
Tanda-tanda awal yang menunjukkan bahawa dunia bakal berhadapan dengan kemunduran ekonomi tidak lama lagi semakin kelihatan. Lebih-lebih lagi apabila kemelesetan ekonomi kini mula melanda Amerika Syarikat.
Sebelum ini, perkara yang sama juga pernah berlaku pada tahun 1997 yang memperlihatkan banyak negara yang turut terjebak dalam masalah ekonomi tersebut.
Sehubungan dengan itu, Malaysia bakal mengumumkan beberapa langkah bagi mengurangkan kesan daripada impak krisis keewangan dunia bagi memastikan negara kita tidak turut terjerumus.
Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri juga selaku Menteri Keewangan Malaysia, telah berkata bahawa beliau akan mengumumkan langkah-langkah tersebut secara berperingkat kerana ia bergantung kepada pasaran dunia pada masa kini.
Beliau juga berkata Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias daripada krisis kewangan dunia tetapi negara tidak akan mengalami kemelesetan sebagaimana pada tahun 1997.
“Memang ada kesan tetapi kita masih boleh bertahan dan Malaysia dijangka tidak terjerumus dalam kemelesetan ekonomi.
“Peringkat awal kajian menunjukkan tahun ini kita mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus manakala tahun depan, walaupun terpaksa dikurangkan sedikit unjuran pertumbuhan ekonomi, kita tidak akan terjerumus dalam kemelesetan ekonomi,” katanya lagi.
Apa yang pasti, kita sebagai pengguna perlu bijak berbelanja dan belajar berjimat-cermat bermula dari hari ini. Hanya beli barang yang perlu sahaja kerana ia boleh mengurangkan kadar inflasi yang melanda di negara kita. Usahlah asyik mengikutkan kata hati sahaja.
Tambatan Ringgit Dilaksanakan Kembali?
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan tugas pertama beliau selaku Menteri Kewangan dengan menghadiri taklimat di Kementerian Kewangan untuk membincangkan sama ada sistem tambatan ringgit akan dilaksanakan semula ataupun tidak bagi mengurangkan impak kejatuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) terhadap mata wang negera.
“Pelbagai isu akan dibawa bagi membolehkan kita memberi data dan kedudukan terkini kepada Najib untuk membuat keputusan sebagai Menteri Kewangan.
“Esok, beliau akan memulakan tugas di Kementerian Kewangan dan difahamkan perbincangan telah diatur dari pagi hingga ke petang. Banyak taklimat akan diberi berhubung ekonomi tempatan dan global serta cabaran di arena antarabangsa,” kata Menteri Kewangan kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Sistem tambatan ringgit ini telah dicadangkan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata sistem ini perlu dilaksanakan semula ekoran nilai mata wang AS yang semakin susut sejak akhir-akhir ini dan ia bakal memberi kesan yang buruk terhadap ekonomi seluruh negara.
Kerajaan pernah melaksanakan sistem tambatan ringgit pada tahun 1997 dengan menetapkan kadar tukaran ringgit pada RM3.80 bagi setiap dolar AS, sebagai langkah mengawal tukaran asing berpilih bagi mengelakkan ekonomi negara terus meleset.
Walau bagaimanapun, kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan sistem tambatan ringgit pada 21 Julai 2005. Nilai ringgit kemudiannya telah ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding mata wang asing terpilih.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indsutri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan perlu meneliti cadangan Tun Dr Mahathir walaupun suasana ketika tambatan ringgit yang digunakan kerajaan pada 1997 tidak sama dengan scenario ketidaktentuan ekonomi global pada masa ini.
“Masalah ekonomi global masa kini berpunca daripada krisis subprima di AS sehingga menyebabkan beberapa bank utama di negara itu bankrap dan senario ini tidak sama dengan apa yang berlaku pada 1997,” kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin akar umbi UMNO Bahagian Temerloh dan Kuala Krau.
Beliau jugaberharap kesan kelembapan ekonomi global itu bersifat sementara dan tidak seteruk seperti yang terjadi pada 1997.


