Posts Tagged ‘ISA’

Blog Hina Nabi Satu Konspirasi?

Pada 26 Disember yang lalu, kita digemparkan dengan berita tentang penemuan sebuah blog yang dikatakan penuh dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW. Cerita tentang kes blog yang menghina Nabi ini memang mendapat liputan meluas dari pihak media sejak ia disiarkan di Buletin Utama, TV3.

Banyak reaksi yang diterima dari semua pihak. Ada yang berpendapat individu yang bertanggungjawab menulis blog ini wajar dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ia jelas berniat untuk menimbulkan kekacauan dan huru-hara di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Malah Mufti Perak beranggapan tindakan itu adalah satu perbuatan yang biadap dan kurang ajar.

Mengikut siasatan awal, blog berkenaan disyaki kepunyaan seorang wanita Islam bernama Adibah Ahmad, 27 tahun.

Namun, Adibah telah menyangkal segala tuduhan ke atas dirinya kerana dia mengesyaki bahawa ada pihak yang cuba mempergunakan namanya untuk tujuan tersebut. Dia juga mengaku bahawa tidak tahu menahu tentang kewujudan blog tersebut.

Menurut Adibah, dia tidak tergamak sama sekali untuk menghina Nabi Muhammad SAW dan dengan tegas menyatakan bahawa hanya orang gila sahaja yang tergamak melakukan perkara yang sebegini hina.

Adibah

Malah profil Friendster Adibah juga dikatakan telah digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Dalam satu siasatan yang telah dibuat oleh malayDILEMMA.com, didapati Adibah telah diganggu melalui penggunaan identiti diri di Friendster bermula sejak Oktober 2008. Pihak malayDILEMMA juga berpendapat bahawa orang yang melakukan perkara ini adalah orang yang sama, kerana ayat-ayat yang digunakan di dalam profil tersebut tidak banyak bezanya daripada blog yang menghina Nabi tersebut.

Seperkara lagi, ada seorang lagi mangsa yang terlibat dalam kes ini. Azahar Mohd, yang dipercayai Pengurus Cawangan tempat Adibah bekerja juga dikatakan sebagai seorang lagi mangsa. Profil Azahar telah dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melancarkan konspirasi ini.

Azahar

Melalui profil Azahar, ia menunjukkan betapa bencinya perasaan dia terhadap kaum Cina melalui kata-kata yang kesat dan ayat-ayat yang berbaur perkauman. Namun jika teliti balik profil ini, profil ini baru dibuat pada November 2008. Bertambah menarik apabila nama Adibah juga dikaitkan secara langsung di dalam profil Azahar ini.

azahar2

Jika kita selidik betul-betul, memang nampak macam ada satu konspirasi yang berlaku di sini. Seolah-olah ada pihak yang cuba mengapi-apikan hubungan antara kaum di negara kita. Memang sungguh moden cara ni. Maklumlah sekarang zaman dah canggih. Dulu orang gunakan kertas dan mulut untuk menyebarkan fitnah. Kini, semuanya melalui Internet dan komputer. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga berpendapat perkara ini sukar dikawal.

Read the rest of this entry »

Larian anti-ISA

Larian Anti-ISANi bukan larian obor untuk Sukan Olimpik. Tapi ini adalah larian anti-ISA yang dianjurkan oleh DAP bagi menyuarakan kekecewaan rakyat terhadap penggunaan berterusan undang-undang ISA. Larian sejauh 350km ini bermula di kampung baru Pandamaran pada jam 8.15 pagi tadi dan akan berakhir di Kem Tahanan Kemunting.

Menurut Naib Presiden DAP, Tan Kok Wai, larian tersebut (juga dikenali sebagai ‘Larian Kebebasan’) juga bertujuan untuk mendesak kerajaan supaya menarik balik perintah pengharaman Hindraf. Ia juga melambangkan kesaksamaan, kebebasan dan untuk menggesa rakyat Malaysia bersatu untuk ‘bergerak ke hadapan’.

Turut hadir ketika majlis pelepasan tersebut adalah penulis blog Raja Petra Kamaruddin, isteri penasihat undang-undang Hindraf, V Buvaneswary dan ramai lagi. Kebanyakkan yang datang adalah mereka yang telah ditahan atau mempunyai ahli keluarga yang masih ditahan di bawah akta ISA.

Read the rest of this entry »

Kekalkan ISA?

Barisan Bertindak Gombak telah melancarkan kempen menandatangani sokongan supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terus dikekalkan.

Penasihatnya, Datuk Ahmad Bujang berkata, “Kami akan pastikan akta ini terus dikekalkan dan dalam tempoh sebulan ini, kami akan dapatkan seberapa banyak tandatangan daripada rakyat Malaysia untuk meraih sokongan supaya akta ini dikekalkan.

“Seterusnya, banner dan buku tandatangan ini akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.”

Kempen ini dilancarkan berikutan beberapa bantahan terhadap pengwujudan ISA yang dikatakan tidak releven lagi kerana ia menyekat kebebasan rakyat. Malah Pemuda Gerakan juga mahu kerajaan membuat pindaan menyeluruh terhadap ISA atau mempertimbangkan perlaksanaan Akta Anti-Pengganas.

Ramai juga tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan menggunakan ISA untuk menahan Raja Petra, penulis blog Malaysia Today atas alasan keselamatan dalam negara. Mereka juga bependapat kerajaan telah menyalahgunakan akta tersebut. Malah Gerakan Masuhkan ISA (GMI) telah ditubuhkan bagi memprotes tindakan kerajaan menggunakan akta ISA.

Read the rest of this entry »

Teresa Kok Dibebaskan

Teresa

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang telah ditahan oleh pihak polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah pun dibebaskan oleh pihak polis pada pukul 1 petang tadi. Perkara ini telah  pun disahkan oleh peguamnya, Sankara Nair.

Teresa telah ditahan oleh pihak polis pada hari Jumaat lalu pada pukul 11.18 malam ketika beliau pulang daripada menghadiri majlis festival kuih bulan di pejabatnya. Teresa telah ditahan untuk siasatan berhubung tuduhan melarang laungan azan di dua masjid, penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan laporan polis terhadapnya oleh beberapa pertubuhan Islam termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Kini hanya tinggal Raja Petra Kamaruddin yang masih ditahan di dalam ISA selepas Tan dibebaskan pada hari Sabtu lepas dan Teresa pada hari ini. Adakah Raja Petra akan terus ditahan di dalam ISA atau beliau mungkin akan dibebaskan juga seperti Tan dan Teresa? Apa yang pasti ini merupakan kali kedua Raja Petra dimasukkan ke dalam ISA setelah ditahan pada Ogos 2001 kerana telah terlibat dengan pergerakan Reformasi Anwar kita itu. Pada masa itu beliau merupakan ‘webmaster’ untuk laman web FreeAnwar.com. Akhirnya, beliau telah dibebaskan 53 hari selepas itu.

Ada pihak beranggapan bahawa Raja Petra akan dibebaskan dengan segera apabila terjadinya pertukaran kuasa kerajaan kepada pihak pembangkang yang dijangka oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berlaku dalam bulan ini. Ada juga pihak yang mempercayai kata-kata Anwar itu hanyalah omong-omong kosong dan gimik politik sahaja.

Read the rest of this entry »

Zaid Letak Jawatan dan Perhimpunan 16 September

Datuk Zaid Ibrahim telah menyerahkan surat perletakkan jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri semalam. Beliau meletakkan jawatannya dalam kabinet sebagai tanda bantahan ke atas penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas Teresa Kok dan Raja Petra Kamaruddin.

Surat perletakkan jawatannya itu telah diserahkan oleh setiausaha politiknya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada jam 2.40 petang semalam di Putrajaya.

Selepas Zaid menghantar surat perletakkan jawatan semalam, khabar angin telah tersebar luas bahawa Zaid mungkin akan menyertai PKR. Walau bagaimanapun, Zaid telah menafikan dengan berkata dalam satu sidang akhbar pagi tadi bahawa beliau masih belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk meninggalkan UMNO atau menyertai PKR.

Datuk Seri Abdullah telah mengesahkan telah menerima surat tersebut tetapi belum lagi membuat sebarang keputusan sama ada untuk menerima atau menolaknya. Abdullah juga meminta Zaid berfikir betul-betul berhubung keputusannya itu. Abdullah juga menyarankan kepada beliau untuk meminta cuti selama dua minggu untuk menenangkan fikirannya.

Satu lagi berita yang juga hangat diperkatakan adalah tentang Perhimpunan 16 September yang diadakan pada malam semalam di Stadium Kelana Jaya bermula pada pukul 7.00 petang. Perhimpunan secara aman ini juga telah mendapat kebenaran daripada pihak polis. Ia telah diadakan sebagai tanda bantahan terhadap tindakan kerajaan menggunakan ISA. Malah perhimpunan itu diadakan bagi menyokong idea Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penubuhan Malaysia Baru pada 16 September. Walau bagaimanapun, Anwar telah mengumumkan bahawa tarikh perlaksanaan Malaysia Baru itu terpaksa dipinda. Ini berikutan tindakan kerajaan menggunakan ISA ke atas pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra dan ahli parlimen DAP, Teresa Kok.

Ini adalah antara gambar yang telah diambil pada malam semalam di Stadium Kelana Jaya.

(credits to http://zorro-zorro-unmasked.blogspot.com)

kelana jaya

kelana jaya2

kelana jaya3

kelana jaya4

Read the rest of this entry »

Politik Sana Sini

AnwarJikalau nak diikutkan, saya malas untuk menulis perkara berkaitan politik lagi pada hari ini. Namun, apa boleh buat, keadaan politik di Malaysia semakin panas dari hari ke hari. Hampir setiap hari mesti ada saja berita yang hangat untuk diperbincangkan.

Baru-baru ini, topik berkaitan penubuhan Malaysia Baru pada 16 September ini kian menjadi popular. Mengikut kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang yang juga ahli parlimen Permatang Pauh, beliau akan mengambil alih kepimpinan kerajaan pada 16 September dengan mendapatkan penyertaan 30 lagi ahli parlimen Barisan Nasional(BN) ke dalam Pakatan.

Barikutan daripada pengumuman itu banyak perkara telah terjadi seperti penghantaran 49 ahli parlimen BN ke Taiwan atas alasan untuk membenarkan mereka mempelajari secara dekat program pertanian yang dilaksanakan di Taiwan. Lawatan mereka selama 8 hari ke Taiwan telah dipersoalkan kerana mereka akan berada di sana sehingga 16 Septmber - sama dengan tarikh yang didakwa Anwar Ibrahim akan menyaksikan ahli-ahli Parlimen BN melompat parti. Walau bagaimanapun, Anwar dengan tenang telah memberitahu bahawa rancangannya tidak akan terjejas hanya disebabkan perkara itu. Anwar juga berkata segalanya berjalan dengan lancar.

Tidak lama selepas itu, negara digemparkan pula dengan kenyataan Ketua UMNO bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang berbaur perkauman semasa kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh. Keadaan menjadi semakin tegang apabila beliau bukan sahaja enggan meminta maaf malah bertindak mengoyakkan gambar bekas ketua menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Perkara ini berakhir penggantungan keahlian UMNO beliau selama 3 tahun. Adakah ini sudah mencukupi?

Selepas itu, kita dikejutkan sekali lagi dengan berita penangkapan Raja Petra Kamarudin, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng di bawah tahanan ISA. Ramai yang tidak berpuas hati dengan perkara ini walaupun Tan telah dibebaskan semalam atas alasan keselamatan beliau kini terjamin ekoran daripada ugutan bunuh yang telah diterimanya.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata kerajaan tidak sewajarnya menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan tiga individu tersebut. Beliau mencadangkan mereka patut dihukum mengikut sistem perundangan negara ini bagi mengelak keadaan bertambah buruk.

Akibat daripada penangkapan Raja Petra dan Teresa, Anwar telah mengumumkan tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan berlaku pada hari esok, mungkin akan ditangguhkan. Ini kerana Anwar bimbang satu penangkapan besar-besaran akan dilancarkan terhadap pembangkang tidak lama lagi.

Raja PetraHari ini, Datuk Paduka Ibrahim Ali telah menggelar Anwar sebagai hipokrit kerana pada tahun 1987, Anwar pernah bersetuju dengan tindakan kerajaan menggunakan ISA di dalam operasi ‘Ops Lalang’. Ops Lalang telah dilaksanakan oleh polis Malaysia pada 27 Oktober 1987 untuk menjatuhkan ketua-ketua pembangkang. Operasi ini menjadi terkenal apabila sebanyak 106 individu telah ditahan di bawah ISA.

Satu lagi berita yang diterima adalah, Raja Petra enggan makan mahupun minum ketika beliau berada di dalam tahanan ISA. Sebelum ini beliau pernah melakukan perkara yang sama di penjara Sungai Buloh. Raja Petra melakukan mogok itu walaupun beliau tahu buah pinggangnya tidak boleh bertahan lagi. Jika keadaan berterusan, Raja Petra mungkin diancam maut.

Pakatan Rakyat juga telah mengumumkan bahawa mereka akan membuat satu perhimpunan perdana yang akan disertai oleh orang ramai pada hari esok di Stadium Kelana Jaya bagi membantah tindakan kerajaan membuat tangkapan di bawah ISA.

Mungkinkah idea Anwar akan tercapai untuk membentuk sebuah kerajaan baru pada bulan September ini? Atau mungkinkah ini semua hanya satu gimik dan konspirasi politik yang cuba direka-reka oleh Anwar untuk menghuru-harakan kerajaan? Dan sejauh manakah kita boleh mempercayai cerita-cerita yang disampaikan oleh pihak media?

Read the rest of this entry »

1 Dibebaskan, 2 Masih Ditahan

TanWartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng yang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di rumahnya di Taman Permai, Bukit Mertajam Pulau Pinang kelmarin, telah pun dibebaskan semalam. Tan, 33, dibebaskan pada pukul 2.30 petang semalam setelah polis berpuas hati dengan siasatan yang telah dijalankan terhadapnya.

Tan sebelum ini telah ditahan kerana melaporkan ucapan yang didakwa berbaur perkauman yang mengaitkan bekas ketua UMNO bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, yang didakwa berkata kaum Cina “menumpang” di negara ini. Tan merupakan salah seorang yang telah ditahan di bawah ISA kelmarin bersama-sama dengan Raja Petra Kamaruddin, editor Malaysia Today dan ahli Parlimen DAP, Teresa Kok.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah berkata bahawa penahanan Tan adalah sebahagian daripada tindakan segera pihak polis bagi menjamin keselamatannya selepas beliau menerima panggilan ugutan. Risikan polis mendapati bahawa nyawa Tan terancam selepas Hoon Cheng membuat laporan berita yang memetik kenyataan kontroversi Datuk Ahmad Ismail.

“Beliau adalah orang pertama yang menyiarkan laporan berhubung kenyataan (bekas) ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera (Datuk) Ahmad Ismail yang didakwa berbaur perkauman, maka kami perlu menangani isu ini dengan sebaik-baiknya. Kami tidak mahu apa-apa berlaku terhadap wartawan ini apabila terdapat ancaman terhadap nyawanya”, kata Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula menyifatkan pembebasan Tan tanpa syarat itu sebagai satu kemenangan rakyat dan hasil tekanan rakyat terhadap penggunaan undang-undang tersebut.

Lim juga berkata, Tan menjadi kebanggaan kerana telah mempertahankan tugas professionalnya sebagai seorang wartawan. “Kita akan menumpukan tenaga kita untuk mendapatkan kebebasan Teresa dan Raja Petra serta tahanan-tahanan yang lain,” katanya lagi.

Tan Hoon Cheng kini dilaporkan berada di rumahnya di Bukit Mertajam selepas dibebaskan tanpa bersyarat di ibu pejabat polis Pulau Pinang pada kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Nampaknya pelbagai andaian yang telah diberikan oleh kedua-dua belah pihak. Jadi, pada pandangan korang semua, adakah wajar tindakan kerajaan dengan masih menahan Raja Petra dan Teresa di bawah ISA? Dan adakah pihak pembangkang akan cuba mempergunakan peluang ini untuk meraih undi daripada rakyat dengan alasan hak bersuara rakyat telah disekat?

(Clik “Read the rest of the entry” for the English version)

Read the rest of this entry »